Friday, March 23, 2007

Ibadah Solat dan Kesihatan Jasmani


Baru-baru ini suatu kajian telah dicadangkan untuk mengkaji kesan solat ke atas tubuh badan dan kesihatan individu muslim yang mengerjakannya. Ianya akan dilakukan oleh Jabatan Bioperubatan Universiti Malaya. Kajian tersebut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Daripada kajian awal, dikatakan bahawa pergerakan yang dilakukan di dalam solat itu dapat memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang. Bahkan, apabila kajian itu siap, ia dikatakan mampu untuk menjadi kaedah berdakwah yang berkesan dalam mendidik umat Islam mengenai perlaksanaan tiang kedua rukun Islam ini. Datuk Seri Abdullah juga berharap agar kajian itu akan dapat mendedahkan kesan biologi dan perubatan di samping kesan-kesan kerohanian daripadanya [UM 13/12/06].


Sehubungan dengan itu seorang Professor di dalam bidang Fizik di Amerika Syarikat menyatakan bahawa, berdasarkan Teori Fizik, terdapat pertukaran di antara cas-cas yang wujud di antara individu jemaah di dalam saf solat. Pertukaran ini berpunca daripada ketidakseimbangan jumlah cas di dalam tubuh seseorang setelah menjalankan aktiviti seharian. Ia dikatakan menyebabkan seseorang itu merasa letih dan lesu. Dengan melakukan sembahyang berjemaah sambil merapatkan bahu, cas-cas pada para jemaah akan dapat bergerak dan saling bertukar, seterusnya dapat mengimbangi semula jumlah cas di kalangan mereka yang berada di dalam saf. Keseimbangan cas ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi ‘segar’ semula. Sebagai seorang Islam, secara emosinya kita akan cenderung untuk membenarkan fakta ini dan merasa ‘bangga’ dengan perkara-perkara sebegini. Kalau boleh ingin disampaikan kepada semua orang akan penemuan baru ini. Tetapi, tidak inginkah kita bertanya kepada diri kita dengan lebih lanjut tentang apakah alat yang digunakan untuk mengukur cas-cas tersebut, bagaimanakah eksperimen itu dilakukan? Kenapa pula ada di kalangan umat Islam yang sentiasa cergas, walaupun jarang atau tidak pernah berjemaah, malah orang kafir yang tidak pernah solat berjemaah pun ramai yang ‘segar’? Kenapa pula ada yang sering berjemaah tetapi selalu sakit atau tidak ‘segar’? Tidakkah kita terfikir bahawa orang yang berjemaah boleh menjadi semakin lemah, bukannya semakin segar kerana boleh dikatakan majoriti jemaah bersembahyang di dalam keadaan ‘letih’ kerana kepenatan melakukan aktiviti harian, jadi yang saling bertukar antara para jemaah adalah adalah ‘cas-cas letih’ sahaja. Tambah mendukacitakan, pak imam tentunya akan terus lesu dan lesu kerana beliau tidak berlaga bahu dengan sesiapa. Tidak ada cas yang dapat diseimbangkan di dalam tubuhnya.


Sumber - www.mykhilafah.com

No comments: